|

Kami merasa bertuah dengan undangan dari Kementerian Pelancongan bagi memenuhi slot 2 jam bersama lebih 750 orang jemputan yang bertempat di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. Program 3P ini adalah bagi membolehkan para peserta melalui pengalaman bercuti di tempat-tempat menarik dalam negeri khususnya Terengganu Darul Iman.
Dengan bertemakan konsep ‘Kembara Alam’, peserta dibawa menelusuri pengalaman dengan melihat keindahan penciptaan bintang-bintang, kosmos, galaksi dan nebula yang menghiasi dada langit. Dengan menghayati keindahan alam semesta ini, adalah diharapkan peserta dapat menilai betapa indahnya kejadian tuhan dan merenung kejadian ciptaanNya dengan penuh rasa kekaguman.
Semangat peserta dinaikkan dengan menyanyikan beberapa lagu patriotic dan beberapa simulasi yang dapat mengeratkan silaturrahim sesama mereka.

Peserta kemudiannya dibawa mengembara ke dalam diri dengan melihat proses kehidupan di alam rahim ibu. Tampilan visual 3 dimensi di alam rahim ibu membuatkan peserta teruja dan mereka diingatkan asal usul kejadian mereka dan betapa mereka sebenarnya adalah juara dan harus bertekad menjadi juara di dalam apa jua bidang yang mereka lakukan.
Mereka kemudiannya dibawa merenung sejenak akan jasa kehadiran dua ‘malaikat kecil’ yang membesarkan mereka dari kecil hinggalah remaja. Dengan beberapa tampilan visual yang menyentuh hati, majlis diserikan lagi dengan deklamasi sajak yang menyentuh perasaan. Apatah lagi, hari tersebut merupakan hari-hari terakhir persekolahan sebelum cuti sekolah bermula.
Di dalam modul yang terakhir, ramai antara peserta yang menitiskan airmata dengan tanpa disedari apabila mereka di ajak berbicara tentang renungan diri. Ada peserta yang menangis teresak-esak kerana topik yang disentuh hati benar-benar mengetuk benteng spiritual yang ada pada mereka. Di peringkat ini, mereka benar-benar mengalami suatu perasaan yang halus yang tidak akan mereka lupakan.

Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Hj Abdul Ghaffar, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan pegawai-pegawai dari kementerian.
Mudah-mudahan, dengan adanya program spiritual yang diselitkan ini akan dapat melahirkan perasaan dan jiwa yang seimbang dan sentiasa menghargai keamanan dan keindahan fauna dan flora yang ada di Negara ini. Moga ianya dapat membantu kerajaan dalam mewujudkan kefahaman nilai-nilai ‘1 Malaysia’ yang sedang rancak berlangsung sekarang.
|